Majlis Kesyukuran sempena selesainya projek penambahan Masjid Salambigar





Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas 






SALAMBIGAR, Selasa, 14 Oktober. - Sebagai tanda kesyukuran atas selesainya projek penambahan bangunan baharu Masjid Kampung Salambigar, Ahli Jawatankuasa Takmir (AKJT) masjid berkenaan mengungkayahkan Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat bagi menzahirkan rasa syukur serta penghargaan atas usaha berterusan dalam memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah dan perpaduan masyarakat.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.


Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Penasihat AJKT Masjid Kampung Salambigar, Dato Seri Setia Awang Haji Adam bin Ahmad; Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abd. Karim; pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan KHEU; AJKT dan Muslimah Masjid Kampung Salambigar serta guru-guru dan penuntut-penuntut sekolah ugama sekitarnya.


Projek penambahan bangunan baharu Masjid Kampung Salambigar telah siap sepenuhnya pada 19 Jun 2025, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha mempertingkatkan kemudahan infrastruktur masjid demi kesejahteraan para jemaah dan masyarakat setempat.


Penambahan berkenaan meningkatkan lagi kapasiti keseluruhan masjid untuk menampung kira-kira 700 jemaah, khususnya bagi pelaksanaan Sembahyang Fardu Jumaat dan Sembahyang Sunat Hari Raya.


Antara kemudahan tambahan yang disediakan termasuklah Bilik Pengurusan Jenazah, Bilik Serbaguna, tandas, serta tempat berwudhu bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada para jemaah. Projek penambahan bangunan baharu berkenaan menelan anggaran kos melebihi BND900,000.


Penambahan bangunan masjid berkenaan adalah hasil sumbangan derma dan wakaf daripada orang ramai, para jemaah masjid serta syarikat-syarikat tempatan melalui Tabung Derma bagi Pembinaan Bangunan Tambahan Masjid Kampung Salambigar.


Sumbangan berkenaan melambangkan semangat keprihatinan dan kebersamaan masyarakat dalam menyokong pembangunan rumah Allah demi manfaat bersama.


Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Matersad, AJKT Masjid Kampung Salambigar.


Diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Imam Masjid Kampung Salambigar, Awang Haji Abdul Halim bin Haji Bungsu, selaku Pengerusi bersama Ahli Jawatankuasa Bangunan Tambahan Masjid Kampung Salambigar.


Sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan dalam menjayakan pembangunan serta pengimarahan masjid, majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada imam-imam yang telah berkhidmat di masjid berkenaan, Ahli Jawatankuasa Bangunan Tambahan Masjid, AJKT dan jasa para penderma serta kontraktor yang terlibat.


Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban, diikuti dengan bacaan Doa Selamat.


Seterusnya, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyempurnakan penandatanganan plak perasmian sebagai simbolik kepada selesainya projek penambahan bangunan berkenaan.


Majlis diakhiri dengan menyaksikan pameran yang memaparkan perjalanan serta maklumat tentang pembangunan masjid berkenaan. Penambahan kemudahan dan ruang baharu berkenaan diharap dapat mempertingkatkan lagi keselesaan para jemaah serta memperluas peranan masjid, bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat aktiviti keagamaan, pendidikan dan kemasyarakatan.


Kejayaan projek berkenaan turut mencerminkan semangat kerjasama dan keprihatinan masyarakat setempat dalam menyokong usaha pembangunan institusi masjid di Negara Brunei Darussalam.


Close